Oleh : echopena
Di hati bersama mengembara
Tiba masanya tika saatnya ku terasa
Meredah lautan kasih sinar iman yang subur
Redup menyinar hati sanubariku
Kutabahkan hatiku dibuang berkelana
Gerimis hati terpaku sukma
Semoga hidayahNya kan terus menyinar
Penuhi alam kegelapan
Masa itu datang lagi. Bila saja ia datang, Lokman terasa seperti ingin
meninggalkan bumi dia sedang berpijak. Mahu saja dia bawa diri ke
tempat yang jauh. Ke tempat yang tiada orang bertegur sapa. Ke dalam
gua mungkin. Atau berlari ke langit saja. Tiba-tiba dia terasa tidak
sabar pula untuk cepat-cepat menghabiskan pengajiannya. Sedih benar dia.
Sepanjang empat tahun berada di negara orang, sebenarnya masa-masa
beginilah yang Lokman tunggu. Kesempatan untuk berkelana ke menjelajah
bumi Tuhan. Kesempatan untuk berkenal-kenal meluaskan silaturrahim
mengeratkan ukhuwwah dengan sahabat yang punya sama fikir. Dia selalu
senyum sendiri bila melihat anak-anak muda bersemangat dan
berlumba-lumba mengejar ilmu dan mengejar pengalaman. Sepanjang jalan,
ukhuwwah dibina. Tapi nampaknya tahun ini lain sedikit.
Sudah sekian lama dia berusaha mengajak namun tidak ramai yang ingin
turut bersama. Disangkanya ramai yang bermasalah kewangan seperti mana
dirinya sendiri. Tapi bila masa berbual-bual, dirasanya mungkin dia
seorang saja yang sedang dibelenggu masalah itu. Rakan lain dilihat
asyik membeli belah dan merancang lawatan ke tempat-tempat yang lebih
meriah, lebih tinggi citarasa barangkali. Hatinya dilanda gerimis. Dia
tahu dia hanya mampu mengajak. Dia tahu bukan dia yang menentukan
segalanya. Cuma dalam hati, dia gusar sebenarnya. Takut-takut usahanya
selama ini tidak diterima dan sekadar menambah murka Tuhan padanya.
Berikan kekuatan dalam mencari sinar
Di jalan ini kuhadapi duka dan sedu sepi
Bersama teman-teman harungi perjuangan
Biarpun kekurangannya ada takkan ku gundah
Lokman sayu lagi. Ungkapan 'mencari sinar' dirasakan sangat tinggi
baginya. Saban malam dia berdoa kepada Tuhan yang Maha Kuasa moga jalan
yang dipilihnya ini menuju kepada sinar yang sebenar - dalam jutaan
sinar-sinar yang menjanjikan bahagia walau padahal hanya untuk
seketika. Dia takut tersalah pilih. Dia tahu kadang-kadang jalan ini
memang ada duka; dia tahu ada kalanya jalan ini jalannya sepi. Tapi dia
juga tahu, dalam jalan ini dia masih punya teman dan punya rakan yang
boleh ditumpang berpaut kalau-kalau semangatnya luntur suatu masa
nanti. "Biarlah kurang sedikit," bisik hati Lokman.
Kita akan bersama menempuh segalanya
Bersatu hati mendamaikan jiwa yang keluh resah
Janji patri bersama ikatan teguh setia
Berjaya menuju gerbang impian kita harapkan
Indahnya ukhuwwah...
Pandangannya dialih kearah pokok-pokok yang kini tidak lagi berdaun.
Bunyi angin bergeseran dengan ranting-ranting terkadang mendamaikan jiwanya.
Biarlah kalau tiada rakan-rakan dekat yang ingin sama bersemangat pun.
Dia tidak akan sekali berpatah hati. Akan diteruskan jua perjalanan
dalam jalan ini. Tidak juga dia akan berpatah arang dengan sesiapa. Dia
ada gerbang impian yang mahu dicapai.
Di hati kita bersama..
Di hati kita melangkah..
Jangan dipisahkan kasih bersaudara..
Jangan didendamkan ukhuwah yang terbina..
Lokman memandang skrin komputernya kembali. Dalam senarai lagu-lagu
itu, dia memilih DeHearty - Di Hati. Tertulis dengan dakwat merah pada
skrin, Request Accepted! Nasyid itu berkumandang lagi. Kali ini air
mata Lokman berguguran.
-echopena-
 | ukhwah fillah kathiran abadan abada...... |
 | salam ukhuwah fillah.. ^_^ |
| |
|